POLISI E-MEL RASMI LPPKN ======================== Mel elektronik atau e-mel adalah merupakan aplikasi yang membolehkan pengguna berkomunikasi antara satu sama lain dalam bentuk mesej elektronik. Aplikasi e-mel ini digunakan secara meluas dan membenarkan komunikasi dua hala dengan cara yang pantas dan menjimatkan. Polisi e-mel ini mengariskan peraturan penggunaan e-mel rasmi LPPKN. Polisi akan diperkemaskan dari semasa ke semasa sejajar dengan kemajuan teknologi. Polisi ini bertujuan untuk memaklumkan kepada semua pengguna e-mel berkenaan dengan peraturan yang mengawal penggunaan e-mel rasmi LPPKN dan memastikan kemudahan e-mel digunakan dengan cara yang betul. Berikut adalah polisi e-mel LPPKN yang disesuaikan pemakaiannya untuk semua pengguna. 1. Pemilikan akaun e-mel bukanlah hak mutlak seseorang. Ia adalah kemudahan yang tertakluk kepada polisi dan boleh ditarik balik jika penggunaannya melanggar polisi. 2. Anggota LPPKN, Pegawai A, B dan C kanan akan diberi satu akaun e-mel manakala lain-lain anggota perlu memohon melalui Pengarah Bahagian masing-masing dan mendapat kelulusan Timbalan ketua Pengarah (Pengurusan). 3. Alamat e-mel pengguna hendaklah menggunakan nama sebenar. 4. E-mel adalah salah satu saluran komunikasi rasmi Kerajaan. Setiap e-mel rasmi mestilah mengandungi rujukan fail, tarikh dan logo rasmi LPPKN. 5. Setiap e-mel rasmi yang dihantar atau diterima hendaklah dicetak dan disimpan mengikut tatacara pengurusan sistem fail bahagian-bahagian masing. 6. Pengguna yang mengamalkan penggunaan fail kepilan (attachment), hendaklah mengelakkan dari menerima atau menghantar fail e-mel yang bersaiz melebihi 20 MB. 7. Jangan buka fail kepilan (attachment) yang diragui atau dari sumber yang tidak dikenalpasti untuk mengelakkan dijangkiti virus. 8. Pengguna hendaklah memastikan jumlah e-mel yang disimpan di dalam inbox adalah tidak melebihi ruang storan yang telah diperuntukkan dan mengutamakan penyimpanan e-mel yang perlu sahaja. 9. Pengguna hendaklah membuang e-mel (Move To Trash) yang tidak penting dan tidak diperlukan. E-mel yang dibuang oleh pengguna (Trash) akan dihapuskan oleh sistem secara automatik sekiranya tidak dibuang melebihi sebulan. 10. Penyimpanan salinan e-mel pada sumber storan kedua seperti disket, pen drive atau PC masing-masing adalah perlu untuk mengelakkan kehilangan e-mel. Mana-mana e-mel yang terhapus, tidak dapat diperolehi kembali. 11. Pengguna adalah dilarang daripada melakukan sebarang aktiviti yang melanggar polisi e-mel rasmi seperti: (a) menggunakan akaun e-mel milik orang lain, berkongsi akaun e-mel atau memberi akaun e-mel kepada orang lain. (b) menggunakan e-mel untuk tujuan selain daripada urusan rasmi seperti menghantar dan memiliki bahan-bahan yang salah di sisi undang-undang seperti bahan lucah, perjudian dan jenayah. (c) menghantar dan melibatkan diri dalam e-mel yang berunsur hasutan, fitnah, ciplak atau aktiviti-aktiviti lain yang ditegah oleh undang-undang Kerajaan Malaysia. (d) menyebarkan kod perosak seperti virus yang boleh merosakkan sistem komputer dan maklumat pengguna lain, dan (e) E-mel tidak boleh dijawab oleh pihak ketiga kecuali dengan kebenaran. 12. Pengguna hendaklah memaklumkan kepada Bahagian Teknologi Maklumat dengan segera sekiranya mengesyaki akaun e-mel telah disalahgunakan. 13. Rahsiakan kata laluan (password) anda dari pengetahuan orang lain. 14. Sekiranya kata laluan telah dikompromi atau disyaki dikompromi, hendaklah dilaporkan kepada Bahagian Teknologi Maklumat dan kata laluan sedia ada diubah dengan serta merta. 15. Kata laluan (password) hendaklah diubah secara berkala. Mempunyai saiz sekurang-kurangnya 8 aksara dengan gabungan alphanumerik dan simbol khas. (Contoh: nokia#3$). 16. Pengguna hendaklah memaklumkan kepada Bahagian Teknologi Maklumat sekiranya bercuti atau berkursus dalam tempoh waktu yang panjang bagi memudahkan penyenggaraan dilakukan. 17. Perkhidmatan e-mel akan ditamatkan serta merta jika pengguna tidak lagi berkhidmat di LPPKN. Pengguna tertakluk dan dianggap bersetuju mematuhi polisi e-mel LPPKN ini apabila menekan butang Login selepas mengunci masuk Kata Pengenalan dan Kata Laluan.
myLogin:
myPassword:
Webmail
Update Personal Info
Use HTTPS